Apa itu JMB
Kebanyakan penduduk belum memahami apakah yang dimaksudkan dengan
“JMB” yang perlu ditubuhkan. “JMB” ataupun dengan nama penuhnya “Joint
Management Body” adalah sebuah badan yang ditubuhkan diperingkat pra
sebelum penubuhan Management Corporation. Dengan adanya JMB
sekurang-kurangnya ia dapat memberi pendedahan awal kepada Ahli
Jawatankuasa untuk mengurus dan menyelenggara bangunan yang diduduki
sebelum penubuhan Perbadanan Pengurusan.
Pasa asasnya, penyelenggaraan pangsapuri, rumah bertingkat akan dipertanggungjawab kepada pemilik berdaftar unit-unit di situ.
Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan
Bangunan) 2007 (Akta 663) yang berkuatkuasa pada 12 April 2007 telah
mewajibkan semua pemaju untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body
(JMB) di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah Akta
Hakmilik Strata.
Setiap pemaju akan menubuhkan JMB di pangsapuri yang
telah dibina oleh mereka sebelum ini bersama-sama dengan penduduk di
bangunan terbabit. Dibawah ini saya sediakan sedikit maklumat yang
dipetik dari artikel di dalam property magazine.
Apakah yang dimaksudkan dengan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB)?
Badan
Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) adalah satu
jawatankuasa yang dianggotai dan ditadbir oleh Pemilik Petak/Penduduk
dalam mengurus dan menyenggara bangunan. JMB diwajibkan di semua
bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah hakmilik strata.
Kenapa JMB perlu ditubuhkan?
Penubuhan JMB adalah
perlu selaras dengan Akta 663 yang mewajibkan setiap Pemaju untuk
menubuhkan JMB sehingga hakmilik strata dikeluarkan dan Perbadanan
Pengurusan ditubuhkan.
Bilakah Penubuhan JMB dikuatkuasakan?
Bagi
pangsapuri yang telah menerima kunci kediaman dan belum menerima
hakmilik strata, pemaju hendaklah menubuhkan JMB dalam tempoh 12 bulan
mulai dari 12 April 2007 atau dari tarikh mengambil kunci rumah
kediaman.
Apakah Tanggungjawab dan kuasa JMB?
Tanggungjawab
dan kuasa JMB adalah mematuhi notis PBT, menyenggara harta bersama,
mendaftarkan JMB, menentukan dan mengenakan caj penyenggaraan,
memastikan Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan diaudit, mentadbir
Kumpulan Wang Penyenggaraan Bangunan, menguatkuasa kaedah dalaman (House Rules),
mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dan Luar Biasa, menginsuranskan
bangunan, menyediakan dan menyenggara daftar pembeli, lain-lain perkara
yang berkaitan penyenggaraan bangunan dan menyenggara Sinking Fund.
Siapakah Ahli-ahli JMB dan berapakah bilangan ahli-ahlinya?
Ahli-ahli
JMB atau dikenali juga sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB)
terdiri daripada Pembeli dan Pemaju. Bilangan Pembeli mestilah tidak
kurang dari 5 orang dan tidak lebih daripada 12 orang. Senarai ahli JMC
adalah terdiri dari Pengerusi, Setiausaha, Bendahari, Ahli Jawatankuasa
sementara 1 wakil dari Pemaju.
Berapa lama tempoh jawatan tersebut?
Ahli JMC memegang jawatan tidak melebihi 3 tahun atau sehingga pembubaran JMB.
Bagaimana Ahli JMC dipilih?Perlantikan ahli JMC
diadakan pada Mesyuarat Pertama secara undian tangan. Urusan mengadakan
mesyuarat tersebut akan dikendalikan oleh Pemaju dengan memberi notis
bertulis 14 hari kepada Pemilik Petak/Penduduk dari tarikh mesyuarat
yang dijangka akan diadakan.
Siapakah yang layak mengundi?
Pemilik Petak/Penduduk yang tidak mempunyai tunggakan sahaja layak untuk diundi
Bagaimana pula dengan penduduk yang mempunyai tunggakan?
Penduduk yang mempunyai tunggakan boleh hadir ke mesyuarat tersebut tetapi mereka tidak boleh mengundi.
Bagaimana jika Pemilik Petak/Penduduk tidak hadir ke mesyuarat tersebut walaupun layak untuk mengundi?
Pemilik
Petak/Penduduk tersebut boleh mewakilkan kepada orang lain dengan
mengisi Borang Proxy dan menghantar borang tersebut kepada Pemaju dalam
tempoh 7 hari sebelum tarikh mesyuarat diadakan.
Bagaimana jika ada persamaan undi bagi sesuatu resolusi/perkara?
Pengerusi yang baru dipilih pada mesyuarat tersebut akan membuat keputusan bagi persamaan undi tersebut.
Apakah kuorum bagi mengadakan Mesyuarat Agung JMB?
Kuorum bagi mengadakan mesyuarat Agung JMB ialah ¼ daripada pembeli yang berhak mengundi.
Bagaimana jika kuorum masih tidak mencukupi?
Jika dalam masa ½ jam, kuorum masih tidak mencukupi, Pemilik Petak/Penduduk yang hadir berhak untuk membentuk suatu kuorum.
Bagaimana jika tiada pemilik petak/penduduk yang hadir atau tiada yang ingin menganggotai JMC?
Selepas 1 jam sekiranya tiada yang hadir atau tiada yang ingin
menganggotai JMC, maka pemaju akan memaklumkan kepada Pesuruhjaya
Bangunan secara bertulis dalam tempoh 7 hari dari tarikh mesyuarat telah
diadakan. Pesuruhjaya Bangunan akan memaklumkan sama ada untuk
menetapkan semula tarikh mesyuarat yang baru atau melantik ejen
pengurusan bagi mentadbir dan menyenggara bangunan tersebut.